Tajuk: Adab-Adab Berhias Dan Menjaga Diri Bagi Wanita

PENDAHULUAN:

Kaum wanita memiliki peranan yang sangat penting dalam membimbing generasi penerus dan mananamkan akidah yang murni ke dalam jiwa anak-anak. Maka dari itu mereka harus menggunakan waktu seoptima mungkin, tidak mensia-siakannya kerana hanya sibuk untuk bersolek atau melakukan perkara yang tidak bermanfaat. Sudah ramai wanita di masa lalu yang dapat menampilkan diri sebagai ibu dan sekaligus isteri yang baik. Wanita juga boleh jadi penghalang pemikiran yang rosak di abad dua puluh ini. Tapi mereka juga akan menjadi cahaya yang terus menyala. Tapi bagaimanakah sikap wanita dalam Islam terhadap kunjungan dan pergaulan yang disenangi dan perhiasan yang macam manakah yang boleh diperlihatkan seorang wanita di hadapan temannya?

NILAI WAKTU BAGI WANITA

Kaum wanita di negara-negara Timur kebiasaannya menyediakan sebahagian masa mereka untuk berkunjung atau menerima kunjungan dari kawan mereka. Sudah menjadi kebiasaan bagi rumah yang dikunjungi akan menyediakan persiapan yang melampaui batas yang hanya membuang masa, tenaga dan wang. Andaikata mereka ditanya tentang maksud kunjungan itu, sebahagian mereka akan menjawab ia sekadar saling bersua muka dan menghabiskan masa lapang.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Kedua kaki seorang hamba tidak akan tergelincir pada hari kiamat, sehingga ia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya yang telah dia habiskan, tentang ilmunya yang telah diamalkan, tentang hartanya dari mana dia mencarinya dan untuk apa ia membelanjakannya, tentang badannya yang dia buat jadi lesu. ” (HR. At-Tirmidzi sahih)

Barangsiapa yang mensia-siakan waktu, maka ia telah mensia-siakan sebahagian dari kehidupannya yang tidak boleh ditukar ganti lagi. Waktu untuk wanita bukan terhad untuk diri mereka sahaja, malah masa mereka hendaklah dibahagikan kepada suami dan anak-anak juga. Selain itu mereka juga harus memenuhi hak masyarakat dan umat atas dirinya.

Wanita muslimah adalah pendidik generasi penerus dan yang memberi warna suatu masyarakat Islam. Kita semua wajib memberi pendidikan yang baik bagi anak, mempersiapkan mereka dengan persiapan Islam dan menjadikan mereka agar mampu menjalankan amanah, mambangkitkan umat dan membangunkan masyarakat yang maju.

Seksa yang ditimpakan Allah kepada umat, tiada lain kerana sikap kita yang tidak mahu melaksanakan kewajipan serta keengganan menolong Islam. Berbagai kekalahan yang kita alami juga tidak lepas dari ikut serta para wanita yang tidak mengetahui bila mereka harus berperanan dan melaksanakan kewajipan, terutamanya dalam pendidikan dan bimbingan.

4. MENJAGA DIRI KETIKA BERSILATURAHIM
Antara silaturahim yang diwajibkan ialah mengunjungi ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa mempunyai kedudukan yang terhormat. Mengunjungi iby bapa tidak boleh dilakukan hanya sekadarnya sahaja. Islam menjadikan perbuatan baik terhadap ibu bapa sebagai kedudukan kedua setelah iman kepada Allah, ini bermakna perbuatan derhaka kepadanya termasuk dosa besar. Meskipun seorang wanita disibukkan oleh berbagai kewajipan rumahtangganya sendiri, maka janganlah dia melupakan kewajipannya ini. Baginda bersabda:“ Mintalah izin kepada kedua ibu bapa kamu kemudian berjihadlah. ” Rasulullah SAW menasihatkan orang yang meminta izin tersebut agar tunduk kepada kemahuan ibu bapanya dan menghormati keduanya. Walaupun kita mengetahui bahawa jihad mempunyai kedudukan yang tinggi tapi kita masih perlu restu ibu bapa.

Selain itu, memenuhi undangan walimatul-urs adalah wajib bagi seseorang wanita selagi memenuhi syarat untuk dihadiri dan tidak ada perkara terlarang. Antara syaratnya ialah pengundangnya hendaklah orang Islam, undangan tidak terhad kepada orang kaya sahaja, undangan tidak menimbulkan bahaya dan tidak ada kemungkaran. Kunjungan untuk menuntut ilmu juga dibolehkan bagi wanita kerana tidak ada larangan bagi wanita muslimah untuk menuntut ilmu di sekolah atau mengajar ilmunya kepada wanita yang lain. Rasulullah SAW bersabda:“ Ilmu pengetahuan yang berlebih lebih baik dari ibadah yang berlebihan. ” (HR. Ath-Thabrani)

Wanita yang biasa mengunjungi tempat-tempat hiburan, setelah kembali ke rumah, tentu membawa beban dosanya sendiri. Sebab ia telah mensia-siakan kepercayaan dirinya. Tapi wanita yang keluar rumahnya untuk menyeru kepada kebaikan, maka ia kembali ke rumahnya dengan membawa pahala seperti pahala orang yang mengikutinya. Majlis paling mulia yang dihadiri para wanita adalah majlis untuk mengkaji ayat-ayat Allah. Kerana para malaikat hadir dalam majlis itu dan membentangkan rahmat. Rasulullah SAW bersabda:“ Tidaklah sekelompok orang berkumpul di salah satu rumah Allah, mereka membaca Kitab Allah dan mengkaji di antara mereka, kecuali akan turun ketenangan kepada mereka, mereka diselubungi rahmat, dimuliakan malaikat dan siapa pun yang ada bersama mereka disebut-sebut oleh Allah. ” (HR. Muslim)

Rahim ertinya setiap orang yang di antara kita dengan dirinya memiliki hubungan kekerabatan. Islam menyeru pemeluknya agar mempereratkan hubungan kekerabatan. Kerana hal itu mempunyai pengaruh sangat besar dalam mengatur hubungan sosial, mengukuhkan rasa kasih sayang dan tolong-menolong sesama orang Islam. Silaturahim adalah wajib, sesuai dengan firman Allah:“ Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan(menggunakan)namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. ” (Al-Isra’:1)

Di antara kunjungan yang diwajibkan adalah menziarahi orang sakit dan berusaha meringankan beban deritanya. Setiap wanita muslimah harus berusaha agar dapat menziarahi Muslimah lainnya yang sedang sakit. Ia harus menghiburkan serta meringankan penderitaannya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. , bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Hak orang Islam atas orang Islam lainnya ada lima: iaitu menjawab salam, mengunjungi yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan dan mengucapkan yarhamukallah kepada orang bersin. ” (Muttafaq Alaih)

Kasih sayang di antara sesama insan hanya layak dilakukan oleh para wanita muslimah yang solehah, berpegang pada hukum-hakam Allah dan tidak melampauinya. Berdasarkan beberapa hadith Rasulullah, maka barangsiapa yang mencinta kerana Allah, dan membenci kerana Allah, akan memperoleh seperti berikut:
- Dapat merasakan kenikmatan iman.
- Allah akan memayunginya dengan rahmat dan melindunginya dari seksaan pada hari kiamat.
- Memperoleh ketenteraman dan termasuk tujuh orang yang mendapat perlindungan dari Allah di suatu hari yang tidak ada perlindungan selain dariNya.
- Menambah tinggi tingkatan syurga yang dihuninya.
- Memiliki tingkah laku yang baik dan persahabatan yang bermanfaat.

ADAB BERKUNJUNG DAN BERSILATURAHIM

Islam menyerahkan kursi kepimpinan kepada kaum lelaki. Kerana mereka lebih banyak memiliki kemampuan sebagai pemimpin daripada wanita. Dengan adanya kepimpinan lelaki ini, maka para wanita dituntut agar taat kepada suaminya. Disebutkan di dalam buku Al-Fatawa Ibnu Taimiyah:“ Bila seorang wanita sudah kahwin, maka suaminyalah yang paling berhak atas dirinya daripada ibu bapanya. ” At-Tarmizi meriwayatkan dari Ummu Salamah ra. Ia berkata, Rasululla SAW bersabda: “ Siapapun wanita yang meninggal dan suaminya redha kepadanya, maka ia masuk syurga. ” (Hadith Hasan)

Suami berhak melarang isterinya keluar rumah meskipun ia hendak mengunjungi orang tuanya, atau bahkan untuk melihat jenazah orang tuanya. Imam Ahmad berkata tentang wanita yang sudah berkahwin dan ibunya sedang sakit:“Taat kepada suami lebih wajib baginya daripada melihat ibunya, kecuali bila suami memberi izin. ” Bahkan seorang isteri yang keluar rumah untuk melaksanakan suatu ibadah pun harus seizin suaminya. Dari Ibnu Umar ra. Dari Nabi SAW, bersabda:“Apabila isteri-isterimu meminta izin kepadamu pada waktu malam hendak pergi ke masjid untuk beribadah, maka izinkanlah mereka. ” Allah telah mewajibkan para wanita muslimah yang sudah akil baligh agar memperhatikan masalah hijab, ketika mereka keluar dari rumah. Kalau kita memperhatikan surah An-Nur ayat 31 maka dapat disimpulkan beberapa hal sebagai berikut:

Hendaklah mereka menahan pandangannya.
1. Memelihara kemaluan
2. Tidak boleh menampakkan perhiasan kecuali kepada:
- suami
- ayah
- ayah suaminya
- putera-puteranya
- putera-putera suaminya
- saudara-saudaranya
- wanita-wanita Islam
- anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita
- putera-putera saudara perempuan
- hamba-hamba yang mereka miliki
- pelayan lelaki yang tidak mempunyai hasrat terhadap wanita
4. Tidak boleh menghentak kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.

Selagi kita mengetahui pakaian bagi wanita muslimah, maka kita juga harus mengetahui batas aurat wanita yang harus ditutupi di hadapan lain muhrimnya, termasuk syarat-syarat pakaian Islam. Aurat menurut bahasa ertinya kekurangan atau sesuatu yang dianggap buruk. Dari kata-kata lain, ada bentuk kata lain, iaitu aura’, yang ertinya juga buruk. Jadi maksud aurat ialah anggota tubuh manusia yang membuat malu. Aurat itu termasuk apa yang harus ditutupi ketika solat dan apa yang haram dilihat.

Tidak diperkenankan bagi wanita memperlihatkan anggota tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan, melainkan kerana keadaan yang memaksa, seperti waktu berubat, yang disesuaikan dengan keperluan yang ada. Sedang para wanita yang mengaku dirinya Islam, tapi mereka menampakkan lengan dan dada bahagian atas serta membiarkan rambutnya terurai, maka mereka itu sama seperti orang Jahiliyah yang terdahulu. Maka firman Allah:“Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang Jahiliyah yang terdahulu, para wanita yang bebas bergaul dengan kaum lelaki adalah gambaran wanita-wanita Jahiliyah yang terdahulu. ”

Antara ciri-ciri pakaian wanita yang memenuhi syariat:
- Tidak menggambarkan bentuk tubuh badan dan nipis. Andaikata suatu pakaian yang menampakkan warna kulit dari pemakainya, sehingga dapat diketahui warna kulitnya maka pakaian itu tidak boleh digunakan untuk solat. Wanita juga dilarang memakai pakaian menampakkan susuk tubuh. Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid, ia berkata:“Aku diberikan pakaian Qibthy cukup tebal oleh Rasulullah SAW. Pakaian itu aku berikan kepada isteriku. ”
- Bukan pakaian untuk fesyen. Pakaian wanita juga disyaratkan bukan merupakan pakaian untuk fesyen. Diriwayatkan dari Ibnu Umar, ia berkata Rasulullah SAW bersabda:“ Barangsiapa yang mengenakan pakaian untuk pamer(fesyen) di dunia, maka Allah akan mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat. ”(HR. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
- Tidak boleh memakai wangian. Agar tidak menimbulkan sesuatu yang negatif di dalam masyarakat, maka pakaian wanita tidak boleh diberi wangian. Diriwayatkan oleh isteri Ibnu Mas’ud, ia berkata Rasulullah pernah bersabda:“Apabila salah seorang di antara kamu mendatangi masjid, maka janganlah memakai wangian. ” (HR. Muslim)
- Jangan menyerupai pakaian wanita kafir. Wanita muslimah harus mempunyai kepribadian khusus, tidak boleh meniru –niru tingkah laku para wanita kafir. Kita tidah harus meniru mereka kerana seharusnya merekalah yang perlu meniru kita kerana kita berada pada kebenaran. Kita telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Sebab Rasulullah sudah menjelaskan kepada kita:“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka termasuklah golongan mereka. ”
- Tidak boleh menyerupai pakaian lelaki. Daru Anas ra. Ia berkata:“Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. ” Kerana tingkah laku yang menyerupai lawan jenis merupakan penyimpangan dari fitrah manusia.
- Tidak boleh memakai pakaian ada gambar.

MEMELIHARA HUBUNGAN SILATURAHIM

Meminta izin ketika mengunjungisesebuah rumah dapat melihara hak-hak rumah tersebut dengan itu seharusnya wanita muslimah meminta kebenaran atau keizinan apabila ingin mengunjungi sesebuah rumah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang- orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. ” (An-Nur:21)

Apabila menyambut tetamu pula haruslah dengan menunjukkan sikap yang ramah dan wajah yang berseri-seri supaya dapat memupuk perasaan kasih sayang dalam pergaulan. Sikap seorang wanita muslimah harus halus dan menghormati orang lain, sesuai dengan ajaran Islam. Setiap wanita mukminah yang sedang berkumpul dengan wanita yang lain, harus pandai dalam menjaga percakapan. Maka masing-masing harus saling memberi ucapan yang baik dan saling menasihati untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kumungkaran. Bila masing-masing berusaha untuk memperbaiki sesamanya dan memadamkan api permusuhan, maka akan terwujudlah kedamaian. Firman Allah SWT bermaksud:“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikandari orang yang menyeru(manusia)memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. ” Antara akhlak pergaulan wanita menurut Islam:

Melakukan perkenalan dengan orang yang belum dikenal
• Memanggil nama seseorang dengan nama yang baik
• Duduk di tempat yang telah ditunjukkan atau disediakan semasa berkunjung ke rumah orang
• Memberi hak kawan untuk berbicara
• Sopan menghadapi hidangan
• Membawa hadiah atau buah tangan ketika berkunjung
• Mendoakan sesama muslimah

PERHIASAN DAN PAKAIAN WANITA

Wanita muslimah harus pandai menjaga dirinya di hadapan wanita lain, tanpa berlebihan. Meninggalkan yang berlebihan dari hal-hal yang mubah akan memperolehi pahala. Namun berlebih-lebihan melakukan hal yang mubah adalah dilarang. Barangsiapa yang tidak mahu memakai pakaian bagus kerana bakhil, ia tidak mendapat pahala. Barangsiapa yang tidak mahu memakai pakaian bagus kerana untuk meharamkan yang mubah, maka ia berdosa. Barangsiapa yang memakai pakaian baguskerana hendak memperlihatkan nikmat Allah maka ia mendapat pahala. Barangsiapa yang memakainya kerana untuk membanggakan diri dan sombong, maka ia berdosa. Kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang bersikap sombong.

Pakaian wanita muslimah harus bersih dan sesuai dengan keadaan dirinya, ia berpakaian untuk memperlihatkan pengaruh nikmat Allah, tidak sombong, berhias da hadapan saudara-saudaranya sesama mukminah dan menutup aurat. Terdapat 10 perhiasan yang dianjurkan ialah:
1. Bersiwak
2. Istinsyaq
3. Memotong kuku
4. Mencuci ruas-ruas jari tangan
5. Mencabut bulu ketiak
6. Mencukur rambut di bawah perut
7. Mencuci pakaian dan menyikat rambut
8. Mengecat rambut beruban dengan inai
9. Bercelak
10. Mencuci bekas darah haid

Antara perhiasan yang dibolehkan untuk wanita ialah sutera, emas dan perak, mutiaradan berhias pada wajah, manakala perhiasan yang dilarang ialah memotong dan memendekkan rambut, menyambung rambut, bertatu dan pembedahan untuk kecantikan.

PENUTUP

Bila seorang wanita itu mengunjungi undangan walimah, bererti haru bersama-sama dalam kegembiraan orang-orang Islam. Jangan sampai undangan itu diabaikan lalu tidak datang. Bila mengunjungi orang sakit hendaklah disertai dengan doa dan meringankan beban pesakit itu. Hendaklah kita berhias dengan adab Islam, iaitu dengan cara mengadakan pertemuan secara baik, bersikap lemah lembut kepada orang lain, menjauhi perkataan yang kaku dan wajah yang garang. Hendaklah kita membiasakan diri seperti para wanita muslimah yang mengikuti kehidupan orang-orang Salaf dari umatnya.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com